Saturday, 16 February 2013

Bantuan CPR dalam 10 minit

Bantuan CPR dalam 10 minit

   
APABILA berlaku kecemasan, termasuk kecederaan atau serangan jantung, ia pasti menimbulkan suasana panik sehingga membuat­kan orang sekeliling menjadi ‘kaku’ seketika.

 (Untuk artikel lain sila klik Bantuan Kecemasan CPR Hanya Tekan Dada, SILA KLIK DI SINI)

Pada ketika itu mereka hanya mengharapkan bantuan daripada kakitangan perubatan tanpa mampu berbuat apa-apa.




Lebih menyedihkan, ada mangsa meninggal dunia tanpa menerima bantuan kecemasan daripada individu berhampiran, sedangkan bantuan pernafasan kecemasan atau Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) boleh diberi.
Banyak alasan diberi, antaranya tidak tahu teknik betul melakukan CPR, malah ada juga menganggap ia menjijikkan kerana perlu membuat sentuhan mulut ke mulut.


Mahu menolak tanggapan berkenaan di samping menga­jar teknik CPR yang betul, pasukan paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menganjurkan kursus CPR baru-baru ini.


Kursus selama sehari itu mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala lumpur dan PBSM.

Paramedik PBSM, Mohd Hasrul Mohd Nuran, 27, berkata kursus itu membabitkan kira-kira 80 peserta daripada kakitangan awam.

Katanya, ada saranan daripada pihak tertentu yang mahukan setiap jabatan mempunyai sekurang-kurangnya seorang mampu memberi bantuan awal jika berlaku kecemasan. 



“Individu berkenaan adalah orang terawal memberi bantuan kepada mangsa apabila berlaku kecemasan yang sedikit sebanyak dapat membantu mangsa untuk terus bernafas.

“Bantuan awal penting bagi memastikan mangsa terus memberi tindak balas sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya.

Menurutnya, peserta diberi penerangan ringkas mengenai CPR kerana kebanyakan mereka hanya tahu ia membabitkan pernafasan mulut ke mulut.

Katanya, melalui kursus itu peserta didedahkan teknik bantuan CPR yang betul di samping langkah yang perlu diambil apabila berdepan kecemasan.

Jika diperhatikan, setiap kali berdepan detik cemas, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah menghubungi ambulans.

Walaupun ia dikira langkah bijak, bantuan perlu diberi terlebih dulu sebelum meminta bantuan perubatan kerana ambulans biasanya mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian.

Di negara kita, pengetahuan mengenai teknik melakukan CPR masih rendah, iaitu dianggarkan hanya 10 hingga 15 peratus tahu melakukannya dan kebanyakan mereka adalah kakitangan perubatan.

Bantuan CPR boleh membantu kegagalan jantung yang terhenti mengepam darah akibat beberapa sebab, termasuk terkena serangan jantung, lemas, renjatan elektrik atau tercekik.

Malah beberapa penyakit seperti masalah jantung, kencing manis, strok, tekanan darah tinggi atau penyakit kronik lain juga berisiko menempuh pelbagai keadaan yang memungkinkan kita memberi CPR.

Mohd Hasrul berkata, peserta ditunjukkan demonstrasi CPR membabitkan tiga golongan iaitu bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.

Katanya, kaedah bagi ketiga-tiga golongan itu berbeza kerana bagi bayi dan kanak-kanak, tekniknya mungkin ‘lembut’ sedikit.

“Lazimnya, bayi sering berdepan masalah tercekik yang memerlukan bantuan CPR dilakukan kepadanya.

“Apabila CPR dilakukan ke atas bayi, perhatian lebih diperlukan bagi mengelak berlakunya sesuatu yang berbahaya kepadanya,” katanya.

Menurutnya, tempoh 10 minit pertama selepas mangsa tidak sedarkan diri dianggap kritikal dan penting.

Katanya, bantuan perlu diberikan dalam masa empat hingga enam minit dan perlu memastikan mangsa memberi respons sebelum ketibaan bantuan perubatan.

“Jika bantuan tidak diberi dalam tempoh 10 minit, otak mangsa berdepan risiko kegagalan berfungsi kerana oksigen tidak sampai ke otak.

“Biasanya ambulans me­ngambil masa 15 hingga 20 minit untuk tiba ke lokasi dan tempoh itu dianggap terlalu lama pada saat kritikal, sekali gus boleh menyebabkan kematian otak mangsa,” katanya.

CPR yang diperkenalkan 50 tahun lalu membabitkan tiga perkataan penting iaitu resusitasi (bermakna mengem­balikan kehidupan), kardio (jantung) dan pulmonari pula merujuk kepada paru-paru.

Kaedah CPR lama membabit­kan bantuan pernafasan mulut ke mulut (bagi membekalkan oksigen ke paru-paru) dan ‘mengepam’ jantung supaya boleh berdegup semula untuk mengepam darah ke otak.

Bagaimanapun, dengan kaedah lama ini, hanya satu daripada tiga orang yang mendapat serangan jantung di Amerika Syarikat menerima bantuan CPR sebelum ambulans sampai.

Dalam kursus itu, peserta juga berpeluang menggunakan alat atau AED yang bertindak mengecas semula aliran elek­trik dalam badan.

Alat mudah alih ini mampu memberi bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans selain mudah dikendalikan.

Katanya, alat menggunakan kuasa bateri itu tidak akan berfungsi jika pengguna tidak mematuhi arahan mengikut turutan.

“Namun, penggunaannya juga harus mengikut peraturan tidak menyentuh pesakit ketika aliran elektrik (shock) diberikan.

“Selain itu, ia digunakan di kawasan kering kerana aliran elektrik boleh berlaku yang mungkin membahayakan nyawa individu berhampiran jika ada sumber air,” katanya.



PROFIL

NAMA: Norfaezah Ibrahim
UMUR: 24 tahun
ASAL: Gemas, Negeri Sembilan
KELUARGA: Kelima daripada lapan beradik

PERLU yakin. Itu antara perkara penting yang perlu dititikberatkan sebelum melakukan CPR kerana perasaan ragu-ragu boleh menyebabkan bantuan CPR tidak dapat dilakukan dengan betul.

Bagi gadis manis ini, tanggapan mengatakan CPR hanya bantuan pernafasan mulut ke mulut semata-mata adalah tidak benar.

“CPR adalah gabungan dua elemen bantuan pernafasan bagi menyalurkan oksigen dan tekanan yang dikenakan pada dada mangsa bagi membantu peredaran darah.

“Sebelum melakukan CPR, perlu dipastikan pesakit tidak lagi bernafas dan tiada denyutan nadi dikesan. Jika masih ada denyutan nadi, CPR tidak boleh dilakukan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang kursus itu berlangsung, penerimaan peserta sangat menggalakkan kerana sebelum ini mereka hanya mengetahui perkara asas mengenai CPR.

“Mereka tidak jelas me­ngenai fungsi dan teknik CPR yang sebenarnya sehingga tidak mampu bertindak apabila berlaku kecemasan.

“Namun apabila diajar cara betul untuk melakukannya, ramai mempunyai keyakinan untuk memberi bantuan awal jika berdepan situasi mencemaskan,” katanya.

Menurutnya, yang penting, mereka perlu mengelak rasa panik kerana ia sebenarnya merumitkan lagi masalah.



PROFIL

NAMA: Azuwan Shah Sabri
UMUR: 29 tahun
ASAL: Chemor, Perak
KELUARGA: Ketiga daripada lima beradik


SEKURANG-KURANGNYA seorang ahli keluarga perlu mengetahui teknik CPR yang betul supaya dapat memberi bantuan awal jika berlakunya kecemasan.

Anak muda kelahiran Perak ini berkata, kita tidak boleh mengharapkan bantuan pasukan perubatan semata-mata untuk menyelamatkan mangsa.

“Individu di sekeliling mangsa perlu bertindak dulu bagi memastikan mangsa dapat bertahan sementara menunggu bantuan perubatan.

“Jika tiada skil dan kemahiran CPR, berkemungkinan besar mangsa berdepan risiko kematian,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa tidak boleh menyalahkan pasukan perubatan jika berlaku kejadian tidak diingini kepada mangsa.

“Mereka ada peluang untuk bertindak menyelamatkan mangsa namun hanya mensia-siakannya, sedangkan keadaan mangsa mungkin menjadi lebih baik jika mereka memberi bantuan awal.

“Tidak sukar mempelajari teknik CPR kerana ia mudah diamalkan, asalkan mengikut peraturan dan teknik ditetap­kan,” katanya.

Menurutnya, kesedaran mengenai teknik CPR di kalangan masyarakat di negara ini masih rendah dan ia mungkin kerana tidak didedahkan sepenuhnya.


INFO


  • Kursus CPR ini dianjurkan oleh pasukan paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala lumpur
  • Membabitkan kira-kira 80 peserta daripada kakitangan awam
  • Demonstrasi CPR membabitkan tiga golongan iaitu bayi, kanak-kanak dan orang dewasa
  • Berjaya mengubah tanggapan lapuk mengenai CPR


  • Sumber; Harian Metro, Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/13

    0 comments:

    Post a Comment